SK.SIBUGAL BESAR, 11 JANUARI 2010 (ISNIN) -Pada hari ini, guru-guru Sk. Sibugal Besar yang ingin masuk ke sekolah bagi menjalankan tugas pada hari pertama minggu ke dua persekolahan 2010 terhalang oleh keadaan jalan yang becak dan berlumpur. Akibatnya guru-guru yang menaiki kereta, terkandas di jalan masuk ke Kg Sibugal Besar, kira-kira 2 kilometer dari jalan utama.
Kerja-kerja menurap jalan masuk ke Kg Sibugal Besar yang bermula sejak tahun lalu masih lagi berjalan dan hapir 70 peratus daripada jalan tersebut telah diturap. Sebahagiannya dengan tar dan sebahagian lagi masih dengan batu halus mampat. Namun, oleh kerana terdapat kerja-kerja meratakan bahagian berbukit pada jalan yang belum siap, ia menyebabkan laluan keluar masuk kenderaan terpaksa menghadapi jalan yang berlumpur dan becak.
Sebuah kenderaan lori yang cuba melalui jalan tersebut pada hari ini terkandas menghalang perjalanan kereta-kereta lain. Guru-guru yang tiba seawal jam 6.30 pagi terpaksa mencari beberapa jalan pilihan untuk tiba di Sk. Sibugal Besar. Antaranya ialah melalui jalan Kg. Nelayan Tengah. Namun, jalan Kg Nelayan Tengah bukanlah jalan yang membolehkan kereta sampai ke Sk. Sibugal Besar. Guru-guru yang mengambil jalan tersebut terpaksa berjalan kaki merentas kampung.
Diharapkan kerja-kerja menaiktaraf jalan Kg Sibugal Besar dapat dipercepatkan dan dengan itu akan memberi keselesaan kepada seluruh penduduk Kg Sibugal Besar, termasuk guru-guru yang merupakan pengguna utama jalan tersebut.
Kereta cikgu khalilah terkandas dalam lumpur.