Mungkin menjadi tandatanya buat sebahagian warga kerja Sk. Sibugal Besar mengenai siapakah yang mengggantikan guru besar En. Keflee bin Md Harun yang baru bersara. Sebelum bersara pun, sudah dinyatakan oleh beliau bahawa penggantinya adalah seorang guru besar perempuan. Warga kerja Sk. Sibugal Besar, khususnya para guru dan KTBM sudah mendapat makluman bahawa guru besar baru yang bakal menjalankan tugas adalah seorang guru kanan dari salah sebuah sekolah daerah pedalaman yang naik pangkat dan ditempatkan di Sk. Sibugal Besar. Hanya, siapakah guru yang dimaksudkan, belum dapat dipastikan di kalangan para guru.
Pada tanggal 21 April 2011, kehadiran guru besar baru telah dipertemukan dengan para guru dalam satu majlis suaikenal yang diadakan dalam Bilik Gerakan Sk. Sibugal Besar.
Pn. Norliza Che Ishak
Nama beliau ialah Puan Norliza binti Che Ishak, bekas Guru Pen. Kanan Hem dari sebuah sekolah dalam daerah Telupid. Menurut Puan Norliza, beliau yang berasal dari Alor Setar, Kedah dan telah berpindah mengikut keluarganya ke Sabah sejak kecil dan tinggal serta membesar di Sabah. Perkhidmatannya dalam kerjaya sebagai guru telah mencecah kira-kira 23 tahun dan kebanyakannya adalah di kawasan pedalaman. Pada umurnya dalam lingkungan 47 tahun, dia selesa membahasakan dirinya sebagai "kak liza" kepada kakitangan dan guru -guru Sk. Sibugal Besar yang rata-rata lebih muda daripadanya. Beliau bersuami dengan orang Sabah dan mempunyai 3 orang anak serta tinggal di Taman Megah, Sandakan.
Dalam pertemuan suakenal bersama guru-guru Sk. Sibugal Besar, Pn Norliza menegaskan bahawa beliau adalah seorang yang dilantik sebagai guru besar oleh pihak JPN dan bukan beliau yang mengejar jawatan tersebut. Sebagai seorang kakitangan awam, beliau mematuhi arahan tersebut dan berharap dai bawah pentadbirannya para guru tidak merasa tertekan. Apa yang perlu dilakukan oleh para guru dan kakitangan hanyalah mematuhi peraturan perkhidmatan. Sambil mengingatkan bahawa dia tidak berhasrat untuk membawa perubahan drastik, sebaliknya meneruskan struktur dan cara sedia ada, namun jika ada perubahan-perubahan yang di bawa pada masa-masa akan datang, hendaklah mendapat sokongan dan kerjasama daripada para guru dan kakitangan.
Warga Sk. Sibugal Besar mengalu-alukan guru besar yang baru. Semoga Sk. Sibugal Besar menjadi tempat yang indah dan menarik buat beliau dan di bawah pentadbirannya Sk. Sibugal Besar terus meningkat.