Wednesday, June 25, 2014

CATATAN HUJUNG: Terpaku Sendu Di Muara Ini.

Jika blog sekolah ini dibaratkan sebuah sungai yang mengalir, kini alirannya telah sampai ke kuala. Sekurang-kurangnya buat saya sebagai pengendali blog sekolah. Ini kerana, waktunya saya bersama di bawah naungan Sk. Sibugal Besar telah pun sampai ke penghujungnya. Selama ini saya sering menulis mengenai kakitangan sekolah yang lain datang melapor diri di sekolah atau meninggalkan sekolah, maka, kali ini biarlah saya menulis pula tentang diri saya. Sesudah catatan ini, saya tidak akan menulis lagi di laman blog ini. Inilah sebuah catatan hujung. Seseorang yang lain akan mengambil alih dan saya akan mengundurkan diri dari meninta di sini buat selamanya. Mungkin saya hanya akan menjadi pembaca yang sentiasa merindui.

Namaku Kamaruddin Wahab. Rakan-rakan memanggilku Ust Kama. Mulai hujung tahun 2008, aku ditempatkan di Sk. Sibugal Besar. Setelah menjadi warga Sk.Sibugal Besar, aku terilham untuk membuat sebuah blog sekolah. Mulanya atas kemahuan peribadi, tetapi lama-kelamaan ia merupakan satu usaha yang disokong oleh pihak pentadbiran sekolah. Lantas, ia menjadi sebuah khutubkhanah kecil di alam maya untuk orang mengenali Sk. Sibugal Besar.

Perkhidmatanku di Sk. Sibugal Besar belangsung lebih 5 tahun. Banyak liku dan perjalanan kutempuh bersama Sk. Sibugal Besar. Waktu mula ditempatkan di sana, jalan masuk ke Kg Sibugal Besar masih grable dan becak berlumpur di musim hujan. Habis kotor kereta dan bas dan sukar sekali merentas jalan ke sekolah kalau sudah hujan lebat semalaman.

Jalan becak berlumpur

Namun, keadaan kemudiannya berubah. Jalan masuk ke kampung Sibugal Besar sudah beraspal cantik. Kesukaran perjalanan lampau tiada lagi. Aku sempat merasa dua zaman tersebut. Zaman jalan berlumpur dan zaman jalan beraspal. Alhamdulillah!.

Jalan beraspal
Mengenang hal demikian, aku digamit sendu. Keadaan sudah berubah dan masa pantas berlalu.

 Akhirnya, pada Jun 2014, aku diluluskan pertukaran ke Lunas Kedah. Di sebuah sekolah bernama Sk. Sungai Seluang. Maka, berakhirlah sudah khidmat baktiku yang kecil di Sk. Sibugal Besar. Ia juga merupakan akhir kepada keberadaanku di bumi Sabah. Mulai Julai, sekolah baru menantiku. Aku sedih meninggalkan Sk. Sibugal Besar dengan rakan-rakan guru dan warganya yang mesra dan penuh kekeluargaan. Kejauhanku di perantauan  dan di bumi Sabah bagai tidak terasa kerana susana kerja dan ikatan istimewa yang ada di kalangan warga sekolah. Ditambah pula dengan kasih sayang dan rasa hormat masyarakat komuniti tempat tinggalku yang dicurahkan atas kapasitiku sebagai seorang "Ustaz".

Hari ini Sukan Sekolah diadakan. Inilah program terakhir di sekolah yang aku sertai. Pada hari ini juga majlis perpisahan sederhana diadakan oleh rakan-rakan guru sebagaimana biasanya setiap kali ada guru yang akan berpindah. Untuk ke sekkian kalinya aku sampaikan sebuah sajak sebagai dedikasi akhir daripadaku seorang guru Sk. Sibugal Besar.



10 Tahun

10 tahun yang lalu
kupijak bumi Sabah
kukutip pengalaman 
walau sebatang kara
di tanah bertuah
subur dakwah
tumbuh pepohon menanti musim buah.

10 tahun yang lalu
cukup mencatat sebuah riwayat 
walau hanya singkat 
masa beredar sepantas kilat.

Kembara ini digariskan takdir
Jalan tidak menurut ukir
rentasnya berlikupnuh tandatanya
hari ini bukan gambaran esok
telah sampai waktu ajalku
bercinta dengan Tanah Kinabalu
walau telah mengakar tegar
10 tahun bercanda siar
kini pulang ke tanah leluhur.

Teman-teman Sibugal Besar!
maafkan aku apa yang tersasar
salah laku terkurang ajar
jika ada hati yang tercalar
jangan dibawa ke padang mahsyar
dalam dunia biarkan ia tawar.

Jika ada sedikit baktiku
engkarku lebih banyak berliku
kurasakan diri bagai melukut 
tepi gantang  layu kemuncup.

Semoga Allah merahmati perpindahanku. Terima kasih rakan-rakan guru, warga Sk. Sibugal Besar dan juga Guru Besar  Pn Norliza Che Ishak yang melayanku dengan baik. Aku tinggalkan sebuah syurgaloka dalam kenangan bersama kalian  " Warga Sk. Sibugal Besar".
Ma'assalamah Wa arjulliqa'!

Sukan Sekolah 2014

Sukan Sekolah pada tahun ini diadakan di dua tempat yang berbeza iaitu di Sk. Sibugal Besar dan juga MRSM sandakan. Acara Padang diadakan pada 25 Jun di Sk. Sibugal Besar melibatkan acara-acara seperti, Lompat Jauh, Lompat Tinggi, Lontar Peluru dan Sukaneka Pra. Pada 26 Jun pula ,acara balapan akan diadakan di padang MRSM Sandakan dan akan dirasmikan oleh En. Azman Hj. Manap, pengetua MRSM Sandakan.

Wednesday, May 28, 2014

SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT SEKOLAH

28 MEI (RABU)-Hari guru peringkat sekolah disambut sederhana hari ni. Acara tradisi bertukar-tukar hadiah diteruskan disampingkan beberapa hadiah anugerah guru pilihan diadakan. Jamuan  diadakan dalam kelas dikelolakan oleh guru-guru kelas dan murid-murid. Acara sukaneka melibatkan guru-guru turut diselitkan.











Saturday, May 10, 2014

HARI IBU

Hari ibu disambut saban tahun pada tanggal 10 Mei. Guru-guru sekolah SKSB tidak lupa menyambut sederhana hari tersebut. Atas inisiatif guru besar sendiri, Pn. Norliza Che Ishak, simbolik mengenang hari ibu dilakukan dengan menyediakan kek-kek kecil yang tertulis abjad "SELAMAT HARI IBU". Secara khusus, pihak sekolah memilih guru yang baru bergelar ibu dan diberikan hadiah semepena Hari Ibu. Ibu muda yang terpilih kali ini ialah Pn Yessie Malail.







Saturday, April 26, 2014

PERTANDINGAN BERBALAS PANTUN

SK.SIBUGAL BESAR, 26 APRIL (SABTU)-Pertandingan Berbalas Pantun anjuran Pusat Sumber Sekolah telah berjaya diadakan pada hari ini. Kumpulan-kumpulan peserta ditampilkan untuk berbalas-balas pantun dan ia telah berjaya mencungkil kreativiti murid-murid untuk mencetuskan keindahan seni bangsa dan lembut bahasa pantun berirama.

Pertandingan berbalas pantun pada hari ini telah dimenangi secara keseluruhan oleh kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai kumpulan Laksamana Bijaksana yang terdiri daripada Fara Elyana, Cyleen, Mohd Afiq dan Mohd Rizam dari tahun 5 Aktif.




Tuesday, April 22, 2014

Program Jom Membaca Selama 10 Minit.

Pihak PSS Sk. Sibugal Besar pada hari ini menyambut seruan untuk mencipta rekod kebangsaan yang akan diabadikan dalam Guinnes Book Of Record dengan menyertai program Jom Membaca Selama 10 minit. Bersama-sama dengan semua murid seluruh Malaysia, murid-murid Sk. Sibugal Besar menggunakan masa selama 10 minit bermula jam 10.00 pagi hinga 10.10 minit untuk membaca. Progrm ini turut disertai oleh guru. 

Penyertaan peringkat sekolah ini akan dikumpulkan dan diserahkan kepada Perpustakaan Negara Malaysia melalui Perpustakaan Daerah Sandakan untuk dianalisa dan seterusnya dicatat dalam rekod.

Guru Besar Sk. Sibugal Besar, Pn. Norliza Che Ishak merasmikan program ini dengan menekankan lonceng mula membaca tepat pada jam 10.00 pagi. 







Saturday, April 12, 2014

MESYUARAT AGUNG PIBG

SK.SIBUGAL BESAR, 12 APRIL (SABTU)- PIBG Sk. Sibugal Besar pada hari ini mengadakan mesyuarat Agung bagi pemilihan baru semua Jawatankuasanya. Jawatankuasa yang lama dibubarkan dan Jawatankuasa yang baru dibentuk Pemilihan kali ini memperlihatkan YDP PIBG yang lama iaitu Cikgu Abd Sani Tabalong digantikan oleh seorang YDP baru.

Wednesday, April 2, 2014

Guru Baru:Nursarina binti Rahim

Media blog SKSB mengalu-alukan  kehadiran seorang guru baru yang ditempatkan di Sk. Sibugal Besar iaitu Cik Nursarina binti Rahim berasal dari Telipok, Kota kinabalu Sabah. Beliau adalah lulusan dari IPG Keningau, opsyen pemulihan. Tarikh penempatan beliau bermula 1 April 2014. Diharapkan kehadiran beliau ke sekolah ini akan menambahkan lagi keceriaan sekolah dan dapat menyesuaikan diri dengan tempat baru.


Friday, March 21, 2014

LATIHAN PBS PELATIH DARI IPG KENINGAU

Dari kiri:Aina Husna binti Dillah, Norhidayu Awang Sahin,, Maria Salin dan Hasmizah Abdullah dan  Lidia binti Jismy@ Gandam.

Pihak sekolah telah menerima lima orang pelatih untuk mengadakan latihan PBS Fasa 3( Pengalaman Berasaskan Sekolah)  di sekolah sepanjang minggu ini. Mereka adalah para pelatih yang sedang dalam latihan perguruan di IPG Kampus Keningau Sabah. 3 orang dari opsyen Pra sekolah dan 2 orang opsyen BM (SJKC)

Monday, February 24, 2014

GERM BUSTER

SK.SIBUGALBESAR, 24 FEB (ISNIN)-Pihak sekolah pada hari ini menerima kunjungan sekumpulan petugas kesihatan yang menjalankan program peningkatan tahap kesedaran murid-murid dalam penjagaan kesihatan. Program tersebut dinamakan "Germ Buster". Murid-murid diberi penerangan kesihatan oleh pegawai yang dilantik untuk itu dan melihat mini pameran yang disediakan.



Saturday, January 25, 2014

CATUR 2014

Penyertaan Sk.Sibugal besar dalam pertandingan catur peringkat daerah Sandakan yang diadakan di SMK Elopura Bestari  pada hari ini menempatkannya pada kedudukan nombor lima. Seramai lapan orang murid telah terpilih untuk mewakili sekolah dan dua di antaranya telah dipilih mewakili Pertandingan peringkat zon yang diadakan di daerah Telupid. Mereka ialah:

1) Mohd Danish Imran

2) Mohd Haiqal Azim Jamil

3) Naufadzlyman Aidil bin Hafeezi

4) Mohd Hazeeq Abdul Rahman

5) Cyleen Jupikely James

6) Nor Aleya Maisarah binti Basri

7) Maryam Qistina binti Mohd Fadli

8) Aisha Sofea binti Azman





 



KURSUS PENGAWAS 2014

25 JAN (SABTU)- Kursus Kepimpinan Pengawas 2014 telah diadakan di MRSM Sandakan. Seramai 90 orang murid dari Sk. Sibugal Besar yang terlibat sebagai pengawas pelbagai unit peringkat sekolah hadir menjadi peserta dalam program tersebut. Program ini merupakan anjuran Unit Kaunseling dengan kerjasama Pusat Sumber Sekolah manakala MRSM Sandakan sebagai tuan rumah.

Thursday, January 23, 2014

PENYERAHAN WANG KWAPM

SK.SIBUGAL BESAR, 22 JAN (KHAMIS)-Pihak sekolah melaksanakan amanah menyerahkan wang Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) pada hari ini kepada ibu bapa/penjaga murid. Sebanyak RM38K telah diperuntukkan untuk disampaikan kepada murid-murid Sk. Sibugal Besar melalui ibu bapa /penjaga mereka. Proses penyerahan berjalan lancar pada hari ini di mana ibu bapa telah datang  ke sekolah untuk mendapat bahagian masing-masing. Keadaan cuaca yang hujan renyai-renyai tidak menghalang.




Wednesday, January 22, 2014

AKTIVITI KECERIAAN KELAS 2014

Demi mewujudkan suasana pembelajaran dan pengajaran yang kondusif, usaha-usaha menambahkan keceriaan sekolah diteruskan untuk tahun 2014. Beberapa penambahbaikan dilakukan untuk menggalakkan warga sekolah mencipta keceriaan yang lebih baik bagi sekolah. Khusus bagi keceriaan dalam bilik darjah, usaha gigih guru-guru kelas dan dibantu oleh murid-murid serta rakan guru yang lain dan dengan bantuan bahan dari pihak pentadbiran, ia dapat ditingkatkan.

Jawatankuasa Keceriaan Sekolah yang anggotai oleh 4 Orang guru iaitu Pn. Norliza Daud dan Pn Marni Atik untuk sidang pagi manakala sidang petang pula ialah Pn. Yessie Malail dan Pn Zaidah Mohd Noor. 

Bercakap kepada pihak media blog sekolah, Pn Norliza Daud melahirkan rasa syukur dan penghargaan buat guru-guru kelas yang telah menghias kelas untuk menjayakan projek keceriaan sekolah pada tahun ini.  Tidak lupa juga terhadap keperihatinan guru besar yang memperuntukkan dana untuk bahan-bahan asas dalam kelas yang mana telah memudahkan lagi tugas guru kelas menceriakan kelas masing-masing.