Wednesday, June 25, 2014

CATATAN HUJUNG: Terpaku Sendu Di Muara Ini.

Jika blog sekolah ini dibaratkan sebuah sungai yang mengalir, kini alirannya telah sampai ke kuala. Sekurang-kurangnya buat saya sebagai pengendali blog sekolah. Ini kerana, waktunya saya bersama di bawah naungan Sk. Sibugal Besar telah pun sampai ke penghujungnya. Selama ini saya sering menulis mengenai kakitangan sekolah yang lain datang melapor diri di sekolah atau meninggalkan sekolah, maka, kali ini biarlah saya menulis pula tentang diri saya. Sesudah catatan ini, saya tidak akan menulis lagi di laman blog ini. Inilah sebuah catatan hujung. Seseorang yang lain akan mengambil alih dan saya akan mengundurkan diri dari meninta di sini buat selamanya. Mungkin saya hanya akan menjadi pembaca yang sentiasa merindui.

Namaku Kamaruddin Wahab. Rakan-rakan memanggilku Ust Kama. Mulai hujung tahun 2008, aku ditempatkan di Sk. Sibugal Besar. Setelah menjadi warga Sk.Sibugal Besar, aku terilham untuk membuat sebuah blog sekolah. Mulanya atas kemahuan peribadi, tetapi lama-kelamaan ia merupakan satu usaha yang disokong oleh pihak pentadbiran sekolah. Lantas, ia menjadi sebuah khutubkhanah kecil di alam maya untuk orang mengenali Sk. Sibugal Besar.

Perkhidmatanku di Sk. Sibugal Besar belangsung lebih 5 tahun. Banyak liku dan perjalanan kutempuh bersama Sk. Sibugal Besar. Waktu mula ditempatkan di sana, jalan masuk ke Kg Sibugal Besar masih grable dan becak berlumpur di musim hujan. Habis kotor kereta dan bas dan sukar sekali merentas jalan ke sekolah kalau sudah hujan lebat semalaman.

Jalan becak berlumpur

Namun, keadaan kemudiannya berubah. Jalan masuk ke kampung Sibugal Besar sudah beraspal cantik. Kesukaran perjalanan lampau tiada lagi. Aku sempat merasa dua zaman tersebut. Zaman jalan berlumpur dan zaman jalan beraspal. Alhamdulillah!.

Jalan beraspal
Mengenang hal demikian, aku digamit sendu. Keadaan sudah berubah dan masa pantas berlalu.

 Akhirnya, pada Jun 2014, aku diluluskan pertukaran ke Lunas Kedah. Di sebuah sekolah bernama Sk. Sungai Seluang. Maka, berakhirlah sudah khidmat baktiku yang kecil di Sk. Sibugal Besar. Ia juga merupakan akhir kepada keberadaanku di bumi Sabah. Mulai Julai, sekolah baru menantiku. Aku sedih meninggalkan Sk. Sibugal Besar dengan rakan-rakan guru dan warganya yang mesra dan penuh kekeluargaan. Kejauhanku di perantauan  dan di bumi Sabah bagai tidak terasa kerana susana kerja dan ikatan istimewa yang ada di kalangan warga sekolah. Ditambah pula dengan kasih sayang dan rasa hormat masyarakat komuniti tempat tinggalku yang dicurahkan atas kapasitiku sebagai seorang "Ustaz".

Hari ini Sukan Sekolah diadakan. Inilah program terakhir di sekolah yang aku sertai. Pada hari ini juga majlis perpisahan sederhana diadakan oleh rakan-rakan guru sebagaimana biasanya setiap kali ada guru yang akan berpindah. Untuk ke sekkian kalinya aku sampaikan sebuah sajak sebagai dedikasi akhir daripadaku seorang guru Sk. Sibugal Besar.



10 Tahun

10 tahun yang lalu
kupijak bumi Sabah
kukutip pengalaman 
walau sebatang kara
di tanah bertuah
subur dakwah
tumbuh pepohon menanti musim buah.

10 tahun yang lalu
cukup mencatat sebuah riwayat 
walau hanya singkat 
masa beredar sepantas kilat.

Kembara ini digariskan takdir
Jalan tidak menurut ukir
rentasnya berlikupnuh tandatanya
hari ini bukan gambaran esok
telah sampai waktu ajalku
bercinta dengan Tanah Kinabalu
walau telah mengakar tegar
10 tahun bercanda siar
kini pulang ke tanah leluhur.

Teman-teman Sibugal Besar!
maafkan aku apa yang tersasar
salah laku terkurang ajar
jika ada hati yang tercalar
jangan dibawa ke padang mahsyar
dalam dunia biarkan ia tawar.

Jika ada sedikit baktiku
engkarku lebih banyak berliku
kurasakan diri bagai melukut 
tepi gantang  layu kemuncup.

Semoga Allah merahmati perpindahanku. Terima kasih rakan-rakan guru, warga Sk. Sibugal Besar dan juga Guru Besar  Pn Norliza Che Ishak yang melayanku dengan baik. Aku tinggalkan sebuah syurgaloka dalam kenangan bersama kalian  " Warga Sk. Sibugal Besar".
Ma'assalamah Wa arjulliqa'!

Sukan Sekolah 2014

Sukan Sekolah pada tahun ini diadakan di dua tempat yang berbeza iaitu di Sk. Sibugal Besar dan juga MRSM sandakan. Acara Padang diadakan pada 25 Jun di Sk. Sibugal Besar melibatkan acara-acara seperti, Lompat Jauh, Lompat Tinggi, Lontar Peluru dan Sukaneka Pra. Pada 26 Jun pula ,acara balapan akan diadakan di padang MRSM Sandakan dan akan dirasmikan oleh En. Azman Hj. Manap, pengetua MRSM Sandakan.