Thursday, January 23, 2014

PENYERAHAN WANG KWAPM

SK.SIBUGAL BESAR, 22 JAN (KHAMIS)-Pihak sekolah melaksanakan amanah menyerahkan wang Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) pada hari ini kepada ibu bapa/penjaga murid. Sebanyak RM38K telah diperuntukkan untuk disampaikan kepada murid-murid Sk. Sibugal Besar melalui ibu bapa /penjaga mereka. Proses penyerahan berjalan lancar pada hari ini di mana ibu bapa telah datang  ke sekolah untuk mendapat bahagian masing-masing. Keadaan cuaca yang hujan renyai-renyai tidak menghalang.




Wednesday, January 22, 2014

AKTIVITI KECERIAAN KELAS 2014

Demi mewujudkan suasana pembelajaran dan pengajaran yang kondusif, usaha-usaha menambahkan keceriaan sekolah diteruskan untuk tahun 2014. Beberapa penambahbaikan dilakukan untuk menggalakkan warga sekolah mencipta keceriaan yang lebih baik bagi sekolah. Khusus bagi keceriaan dalam bilik darjah, usaha gigih guru-guru kelas dan dibantu oleh murid-murid serta rakan guru yang lain dan dengan bantuan bahan dari pihak pentadbiran, ia dapat ditingkatkan.

Jawatankuasa Keceriaan Sekolah yang anggotai oleh 4 Orang guru iaitu Pn. Norliza Daud dan Pn Marni Atik untuk sidang pagi manakala sidang petang pula ialah Pn. Yessie Malail dan Pn Zaidah Mohd Noor. 

Bercakap kepada pihak media blog sekolah, Pn Norliza Daud melahirkan rasa syukur dan penghargaan buat guru-guru kelas yang telah menghias kelas untuk menjayakan projek keceriaan sekolah pada tahun ini.  Tidak lupa juga terhadap keperihatinan guru besar yang memperuntukkan dana untuk bahan-bahan asas dalam kelas yang mana telah memudahkan lagi tugas guru kelas menceriakan kelas masing-masing.
























Saturday, January 18, 2014

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 2014

SK.SIBUGALBESAR, 18 JAN (SABTU)-Sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini disambut meriah apabila ia acara perarakan melibatkan murid-murid dan guru-guru diadakan. Perarakan berlangsung antara sekolah ke Masjid Nurul Hidayah yang terletak di dalam Kampung Sibugal Besar. Program bermula dengan pertandingan nasyid yang melibatkan murid-murid tahap dua yang berentap merebut kejuaraan.Ceramah Maulidur Rasul turut disampaikan oleh Ust. Kamaruddin Wahab.

PDRM membantu keselamatan.

Kumpulan Nasyid 6A

Ceramah Oleh Ust. Kama

Kumpulan Kompang SKSB
Perasmian oleh Guru Besar

Tahun 6A johan pertandingan

Perarakan

Berkumpul di Masjid Nurul Hidayah

Monday, January 13, 2014

PROGRAM MENTOR MENTEE 2014

Program Mentor Mentee untuk sesi persekolahan tahun 2014 diteruskan lagi. Pelancarannya telah disempurnakan oleh guru besar Sk. Sibugal Besar semasa perhimpunan pagi Isnin yang diadakan pada hari ini. Setiap guru mentor akan mendapat murid-murid mentee yang akan dibimbing. Melalui program Mentor Mentee  ini, adalah diharapkan murid-murid lemah dapat diberi bimbingan yang lebih berfokus dan masalah murid-murid, khususnya yang berkaitan dengan pembelajaran dapat diselia dengan lebih perhatian oleh guru mentor.

Program ini adalah program yang diusahakan oleh Unit Kauseling Sk. Sibugal Besar yang diketuai oleh guru Kaunseling, En Delano Nanang.




Friday, January 10, 2014

ALVERA TERBABAS

JALAN SUNGAI BATANG, 10 JAN (JUMAAT)-Seorang guru Sk. Sibugal Besar, Alvera Kisil berdepan dengan saat mencemaskan apabila kereta 4x4 yang dipandunya terbabas dan sebelah keretanya termasuk ke dalam parit. Kejadian berlaku berhampiran dengan simpang masuk ke Sk. Ladang Sandak sekitar jam 6.30 pagi. Menurut sumber, beliau terbabas ketika mengelakkan daripada melanggar sebuah kereta Avanza sewaktu berselisih di tempat kejadian. Keadaan jalan basah kerana hujan semalaman dan masih renyai-renyai dipercayai sebagai punca kecelakaan itu. Walau bagaimanapun,tidak ada apa-apa kecederaan di pihak beliau.

Beberapa rakan guru yang lalu di tempat kejadian sempat berhenti menyaksikan kejadian tersebut. Satu laporan polis telah pun dibuat berkaitan kejadian tersebut oleh mangsa.

Cik Alvera Kisil



Thursday, January 9, 2014

AWAL 2014-YANG PERGI DAN YANG DATANG

Membuka Lembaran persekolahan tahun 2014 ini, Sk. Sibugal Besar kehilangan 3 orang guru lagi. Mereka ialah En. Yusdy Rosli, Ustaz Ahmad Sidqi Danial dan Ustazah Wan Hasanah apabila permohonan pindah mereka diluluskan dan mereka berpindah ke sekolah yang baru.

En Yusdy Rosli telah berjaya dalam permohonannya untuk pertukaran dalam daerah dan beliau ditempatkan di Sk. Taman Rimba, Sandakan. Manakala Ustaz Sidqi Danial bersama isterinya Ustazah Wan Hasanah telah berjaya dalam permohonan pertukaran antara negeri yang menyaksikan penempatan baru buat mereka di negeri Selangor.

Ustaz Sidqi Danial ditempatkan di Sk. Pandan Indah dalam kawasan PPD Ulu Langat manakala Ustazah Wan Hasanah ditempatkan di Sk. Lembah Keramat dalam kawasan PPD Gombak. 

Sebagaimana lumrah, setiap pertemuan disusuli perpisahan. Pihak sekolah, di samping merasakan kehilangan guru-guru yang telah berpindah, menghargai segala jasa dan pengorbanan mereka selama berkhidmat di Sk. Sibugal Besar. Namun, bak kata pepatah, patah tumbuh hilang berganti. Bersama dengan perpisahan guru-guru yang berpindah, Sk. Sibugal Besar juga menerima guru-guru baru yang tampil untuk menaburkan khidmat bakti di sekolah.

Guru-guru baru yang ditempatkan di Sk. Sibugal Besar mulai januari tahun 2014 ialah:
a) Nurul Mardhiah binti Jauhari
b) Kamisah binti Malbaki
c) Zaidah binti Mohd noor
d) Santy Ak Juing

#Guru-guru berpindah menerima cendera kenangan.

Ust. Ahmad Sidqi Daniah

Ustazah Wan Hasanah

Yusdy Rosli

# Guru-guru yang tampil berkhidmat.

Zaidah

Nurul Mardhiah dan Santy

Kamisah Malbaki

Bagi yang pergi, tentunya meninggalkan kenangan berharga di Sk. Sibugal Besar. Jadikan kemanisan kenangan sebagai sebutan dan padamkan kenangan pahit. Bagi yang baru datang, warga sekolah mengalu-alukan.Selamat datang menggabungkan tenaga dalam keluarga SKSB.


Thursday, November 14, 2013

KEPUTUSAN UPSR 2013

SK.SIBUGAL BESAR, 14 NOV (KHAMIS)-Keputusan UPSR bagi calon-calon  dari Sk. Sibugal Besar  memperlihatkan peningkatan dari  segi kelulusan keseluruhan iaitu sebanyak 33.3 % pada tahun 2012  kepada 40.3 % pada tahun 2013. Peningkatan sebanyak 7 % ini  adalah membanggakan, lebih-lebih lagi jumlah murid yang gagal dalam matapelajaran dapat dikurangkan berbanding tahun lalu.

Walau bagaimanapun, dari segi pencapaian individu, tiada murid yang berjaya memperolehi 5A sebagaimana tahun-tahun sebelumnya. Tiga orang murid  berjaya mencatatkan keputusan terbaik ialah:-
a) Sharol Ajirol  -4A  1B.
b) Norazima Masrip -3A 2B
c) Mohd Syahir Shah bin Sallan- 3A 2B

Guru Besar, Pn. Norliza Che Ishak ketika ditemui melahirkan kesyukuran atas kejayaan meningkatkan pencapaian murid-murid secara keseluruhan, khususnya dalam mengurangkan nisbah murid gagal. Berbanding pencapaian tahun-tahun lalu, murid yang mendapat E dalam mata pelajaran, khasnya Bahasa Inggeris telah menunjukkan pengurangan ketara. Pencapaian yang bertambah baik ini, menurutnya adalah hasil gembelingan usaha yang berpadu antara para guru, murid-murid serta ibu bapa.

Para guru yang berusaha keras memajukan murid, sama ada secara langsung maupun tidak telah membantu memastikan pencapaian ini. Perhatian dan keprihatinan ibu bapa juga dapat dilihat dalam meletakkan anak-anak/jagaan mereka berjaya. PIBG sekolah juga banyak membantu usaha melonjakkan prestasi sekolah.
 

Dari kiri: Syahir Shah, Sharol dan Azima.


Murid-murid  UPSR 2013


Guru Besar mententeramkan seorang murid yang sebak dengan keputusan.


bersedih...



Wednesday, November 13, 2013

MAJLIS ANUGERAH CEMERALANG

SK.SIBUGALBESAR, 13 Nov (Rabu)-Majlis Anugerah Cemerlang Sk. Sibugal Besar diadakan pada hari ini bagi meraikan serta menghargai murid-murid yang mendapat pencapaian terbaik dalam bidang-bidang tertentu di sekolah. Anugerah  murid pada hari ini meliputi pencapaian terbaik dalam pelbagai kategori sama ada dalam bidang Kurikulum, Hal Ehwal Murid maupun  Kokurikulum. Beberapa anugerah khas daripada pentadbiran sekolah juga dikurniakan kepada murid-murid.

Anugerah Kurikulum melibatkan kategori-kategori seperti:
a) Anugerah Murid Terbaik dalam kelas
b)Anugerah Pencapaian Terbaik Dalam Mata Pelajaran Tahap 2
c) Anugerah Murid terbaik KSSR tahun 1, 2 & 3
d) Anugerah Murid Berpotensi
e) Anugerah Murid Pemulihan
f) Anugerah Tokoh Mithali j-QAF.

Anugerah Hal Ehwal Murid pula melibatkan:
a) Anugerah Gigi Tercantik tahap 1 & 2
b)Anugerah Murid Terbersih dan Berdisiplin tahap 1 &2
c) Anugerah Kehadiran Terbaik Murid Tahap 1 , 2 dan PRA.
d) Anugerah Kelas Terbersih

Anugerah Kokurikulum pula melibatkan:
a) Anugerah Sukan dan Permainan Terbaik
b) Anugerah Kelab dan Persatuan Terbaik
c) Anugerah Unit Beruniform Terbaik.
d) Anugerah Atlet Harapan (Lelaki & Perempuan)

Anugerah Tambahan dari Sekolah:
a) Anugerah Pelajar Cemerlang Pra Sekolah
b) Anugerah Keseluruhan Akademik Terbaik Tahap 1 & 2
c) Anugerah Tokoh Murid 2013

Turut disampaikan adalah sijil-sijil:
a) Sijil Pengawas ( Sekolah, SPBT, PSS & PPDa)
b)  Sijil Tamat Persekolahan
c) Sijil-sijil lain

Majlis pada hari ini melibatkan kehadiran ibu bapa untuk memberikan sokongan moral kepada murid-murid agar dapat mempertingkatkan lagi pencapaian pada tahun-tahun mendatang. Kehadiran ibu bapa yang memberangsangkan pada hari ini memperlihatkan hubungan yang baik antara masyarakat dengan pihak sekolah. Ia juga merupakan manifestasi keprihatinan mereka terhadap pembelajaran anak-anal.

Majlis Anugerah Cemerlang dirasmikan oleh Encik Harthono Isnanthomo, Penyelia Kokurikulum Unit Pembangunan Kemanusiaan Pejabat Pelajaran Daearah Sandakan.

Ibu bapa murid menandatangani kehadiran.

Pentas HAC






En. Harthono Isnanthomo

Murid Tahun 6 dianugerahkan sijil tamat persekolahan.

Sharol Ajirol, tokoh murid 2013
/
K2 menaja minuman untuk murid.